mutakhir

6 sekeluarga dirompak, diugut sembelih

Oleh Safuri Kamarudin

ENAM sekeluarga 'kecut perut' apabila tiga perompak mengugut untuk menyembelih mereka dalam kejadian rompakan di Kampung Bukit Endoi, Kuala Ketil, Baling, hari ini.

Ketika kejadian mereka dikatakan nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan kemunculan tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau panjang serta besi di dalam rumah.

Bagaimanapun, mangsa, Mahayudin Yahaya, 57, yang juga pesara tentera bersama isteri, Zaiton Lazim, 51, tiga anak perempuan berusia 15 sehingga 28 tahun serta cucu lelaki berusia dua tahun bernasib baik tidak diapa-apakan suspek.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, berdasarkan laporan, keluarga itu bukan saja dirompak, malah suspek mengugut untuk menyembelih mereka dengan pisau panjang sekiranya menjerit dan tidak menyerahkan barangan berharga.

Beliau berkata, mangsa menyatakan tiga suspek bercakap dalam loghat Kedah, memakai topeng dan bersarung tangan membawa besi dan pisau panjang ketika menahan mereka di dalam rumah.

"Seorang suspek perompak menyuruh mangsa baring dan meletak besi di leher manakala seorang lagi mengacu pisau kepada isterinya sambil menyuruh menyerah wang tunai dan barang kemas.

"Suspek ketiga yang juga bersenjatakan besi panjang mengawal anak dan cucu pengadu di ruang tamu.

"Mereka mengancam akan menyembelih mangsa sekeluarga jika melawan dan menjerit sambil menggeledah bilik dan mengambil beberapa barangan berharga," katanya.

Shariffuddin berkata, akibat kejadian itu mangsa kerugian kira-kira RM35,000 apabila perompak melarikan Perodua Myvi, komputer riba, wang tunai dan telefon bimbit.

Beliau berkata, suspek perompak dipercayai menyelinap masuk ke dalam rumah mangsa selepas mengumpil tingkap nako bilik belakang.

"Siasatan mendapati rumah mangsa agak jauh dengan rumah penduduk dan kawasan gelap kerana tidak ada lampu jalan dan hanya diterangi dengan lampu di hadapan rumah.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan giat mengesan suspek," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 11:26pm
d