mutakhir

Perbaiki sistem penyampaian

Oleh Faliq Lajim

Klang: Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (PIBK) dilihat memberi manfaat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Ia antara pendekatan bagi memperbaiki sistem penyampaian atau aduan melalui pembabitan komuniti dan pekerja syarikat berdasarkan prinsip pembudayaan integriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, program itu berfungsi menjadikan komuniti sebagai mata dan telinga kepada pihaknya.

“Sebagai contoh, kita pada awalnya menumpukan usaha membersihkan sampah dan longkang walaupun mengetahui setiap PBT mempunyai kontraktor yang dilantik melaksanakan kerja berkenaan.

“Namun mungkin ada pihak tidak melakukan apa yang sepatutnya. Oleh itu, komuniti akan menjadi mata dan telinga menyalurkan maklumat berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Breakfast Talk Integriti: Pengurusan Tabir Urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Perspektif Integriti di sini, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datuk Mohamad Bidin.

Menurut beliau, penduduk setempat perlu memaklumkan segala isu melalui PIBK atau PBT supaya pihaknya boleh mengambil tindakan lanjut.

“Masyarakat kerap menyalahkan PBT tanpa mengetahui punca permasalahan itu. Justeru, komuniti perlu bekerjasama memaklumkan masalah yang berlaku.

“Pendekatan secara kolaborasi itu secara langsung akan meningkatkan isu peningkatan kualiti perkhidmatan PBT,” katanya.

Kata Anis, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, kajian mengenai kadar pembetulan kesedaran dijalankan pihaknya mencatatkan peningkatan hampir 100 peratus.

“Sebelum kita melaksanakan PIBK, kadar itu hanya 40 peratus namun ia kemudian meningkat, sekali gus menyelesaikan masalah atau aduan terutama sampah seperti di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 6:20am
d