mutakhir

Hampir lemas hidu asap

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan nyawa dua beradik yang terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Kondominium Sri Mahligai, Seksyen 9 di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 10.32 pagi itu, kebakaran berlaku di bahagian dapur di tingkat empat kediaman berkenaan.

Ketika kejadian, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun berada di dalam bilik tidurnya manakala abangnya berusia 29 tahun cuba keluar menyelamatkan diri menerusi balkoni.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, sepasukan empat anggota polis yang menaiki dua kereta peronda bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat awam.

“Setibanya di tempat kejadian, lelaki itu dilihat berada dalam keadaan panik di balkoni di sebalik kepulan asap dari rumah terbabit.

“Semua anggota polis itu kemudian segera bertindak memecahkan pintu depan untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Kata Shafien, dua beradik yang terselamat kemudian dibawa turun untuk tindakan lanjut.

“Remaja perempuan itu dihantar ke ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan lanjut akibat sesak nafas,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, sepasukan 16 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan bahagian dapur dan pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran hos pemasangan tetap.

“Api kemudian berjaya dipadamkan sepenuhnya daripada merebak ke kawasan lain,” katanya memaklumkan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 7:43am
d