mutakhir

'Basuh' 60 bekas pelumba lajak

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Dalam usaha menarik minat pelumba basikal lajak untuk beralih ke aktiviti berbasikal lebih selamat, sukarelawan Happy Riders Connect tampil memberikan pendedahan dan berjaya mengajak 60 bekas pelumba basikal lajak menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan mereka.

Ahli Jawatankuasanya, Azwana Mohd Hasan, 35, berkata, pihaknya sedar proses pemulihan pelumba basikal lajak yang wujud sejak sekian lama memerlukan pembabitan dan perhatian pelbagai pihak.

“Ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan dan sebab itulah, sejak kejadian lapan remaja basikal lajak maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Mahmoodiah, Februari lalu, kami tampil dengan pelbagai inisiatif bagi membantu remaja yang mahu berubah.

“Sejak April lalu, kami memberi keperluan peralatan keselamatan yang sepatutnya dipakai semua penunggang basikal kepada 60 remaja basikal lajak di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini.

“Kami berjaya mengumpulkan 60 remaja berbasikal lajak dan tolong memasang lampu, brek dan bekalkan topi keselamatan, selain itu kita beri kesedaran dan praktikal keselamatan berbasikal yang betul di atas jalan raya,” katanya yang aktif berbasikal bersama ahli kelab di sekitar bandar raya ini.

Menurutnya, aktiviti yang diadakan setiap Sabtu itu mendapat persetujuan ibu bapa semua 60 remaja berkenaan dan berharap lebih ramai penunggang basikal lajak akan menyertai program mereka.

Katanya, bukan mudah untuk remaja berbasikal lajak berubah kerana mereka terjebak dengan kegiatan itu seawal lapan tahun dan setiap proses pemulihan dan kesedaran perlu dibuat lebih awal.

“Daripada 60 remaja basikal lajak yang kita beri kelengkapan keselamatan hanya 26 remaja benar-benar mahu berubah dan aktif mengikuti aktiviti kita sehingga kini.

“Remaja yang datang dan kekal dengan aktiviti berbasikal cara betul ini adalah mereka yang benar-benar insaf dan mahu berubah, kami memberi ganjaran kepada mereka setiap minggu supaya terus bersemangat.

“Kami akan memasangkan brek, lampu dan topi secara percuma dan memantau kegiatan mereka sama ada mereka masih menggunakan peralatan keselamatan itu atau tidak,” katanya.

Azwana berkata, aktiviti sukarelawan ini turut mendapat sokongan dan kerjasama polis dan Ahli Parlimen, Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Katanya, berikutan itu pihaknya berharap lebih banyak persatuan berbasikal akan mengambil inisiatif sama bagi membantu remaja basikal lajak supaya mereka beralih kepada basikal lasak.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memastikan anak mereka menunggang basikal dengan selamat dan tidak mengubahsuai apa-apa bahagian basikal mereka.

“Remaja basikal lajak ini boleh diubah, sekiranya terus mendapat sokongan dan perhatian masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 8:06am
d