mutakhir

Bawa 12 botol penawar racun

Oleh Sarah Zulkifli

Shah Alam: Lelaki warga Korea Utara, Kim Chol atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam yang dipercayai mati akibat diracun agen saraf VX ada membawa 12 botol kaca berisi penawar racun (antidote) dalam beg galasnya.

Semua botol kecil yang dibawa Kim Chol itu dilabel menggunakan bahasa Korea diisi dengan atropine, iaitu antidote bagi racun termasuk VX dan serangga perosak.

Perkara itu dicadangkan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, 25, kepada Ketua Unit Alkohol dan Toksikologi Klinikal, Jabatan Kimia Dr K Sharmilah 38.

Saksi ke-23 pendakwaan itu memberikan keterangan pada perbicaraan dihadapi Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), jam 9 pagi pada 13 Februari lalu.

Selain itu, wanita yang bertugas di Seksyen Toksikologi Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia turut bersetuju dengan cadangan Gooi bahawa racun serangga perosak boleh menyebabkan kematian dan memberikan simptom yang sama seperti diracun dengan VX.

Mengulas lanjut, Dr Sharmilah kemudian menjelaskan kepada mahkamah bagaimanapun penggunaan racun serangga perosak untuk membunuh seseorang memerlukan kadar kepekatan yang berbeza dengan racun agen saraf VX.

Dalam kes pemeriksaan semula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, saksi itu menjelaskan 10 miligram (mg) VX diperlukan untuk membunuh seseorang individu melalui penyerapan kulit.

“Jika dibandingkan dengan phorate, iaitu sejenis racun serangga yang paling toksik dalam kumpulan organophosphate, seseorang itu memerlukan 72,000 mg phorate untuk menyebabkan kematian melalui penyerapan kulit,” katanya.

Mengenai analisis yang dibuat terhadap spesimen darah Kim Chol, Dr Sharmilah berkata, antara ubat yang dikesan adalah ubat untuk merawat gout, tekanan darah tinggi, kencing manis dan ubat tahan sakit dan semua dos ubat yang dikesan dalam darah mangsa tidak memudaratkan kesihatan mangsa.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintendan Nasrol Sain Hamzah berkata, usaha polis untuk menjejak tiga lagi suspek dalam kes bunuh Kim Chol tidak berjaya selepas ketiga-tiga mereka didapati meninggalkan hotel penginapan ketika diserbu.

Saksi pendakwaan ke-24, polis menjalankan pencarian terhadap ketiga-tiga suspek itu di Hotel Concorde Kuala Lumpur selepas mendapat maklumat daripada tertuduh kedua, Doan Thi Huong.

“Thi Huong turut menunjukkan sendiri bilik hotel di Sky Star Hotel di Sepang di mana beliau (Thi Huong) menginap dan memberikan kepada polis baju-T dengan tulisan ‘LoL’ yang dipakainya pada 13 Februari lalu iaitu pada hari Kim Chol diserang dengan racun VX,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung hari ini.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 9:02am
d