mutakhir

Warga Bangladesh dituduh rasuah polis

Oleh Mohd Sabran Md Sani

LELAKI warga Bangladesh berusia 32 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, terhadap tuduhan merasuah anggota polis berpangkat Inspektor berjumlah RM2,000 pada 25 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, Horibol Sharker yang juga buruh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Kamarudin Kamsun, berikutan kurang memahami bahasa Melayu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM2,000 kepada Inspektor P Devendran yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Tindakan itu sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal anggota terbabit untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tangkapan perempuan.

Ia bersabit laporan Sungai Rengit berkaitan tangkapan wanita itu kerana disyaki melakukan aktiviti pelacuran serta kesalahan imigresen.

Tertuduh yang beralamat di Sungai Rengit, Kota Tinggi didakwa melakukan perbuatan itu di perkarangan Balai Polis Sungai Rengit, jam 7.20 malam, 25 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nor Syarina Raizan.

Terdahulu kes membabitkan tertuduh disebut jam 9.50 pagi, sebelum pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, sebaik diterangkan hukuman bakal dikenakan mengikut pertuduhan dihadapinya, tertuduh mengakui kurang memahami bahasa Melayu.

Berikutan itu, pihak pendakwaan meminta mahkamah menggunakan khidmat jurubahasa warga Bangladesh dan menetapkan satu tarikh sebutan baru.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Disember ini bagi membolehkan SPRM mendapatkan jurubahasa Bangladesh.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 11:27am
d