mutakhir

Daerah Manjung pula banjir

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SERAMAI 532 orang daripada 115 keluarga di Manjung dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir di di daerah ini setakat 12 tengah hari, hari ini.

Empat pusat pemindahan yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu dan Sekolah Agama Rakyat Kampung Tebuk Yan di Pantai Remis, SK Dato Ishak di Lumut dan Dewan BNBBC Batu 4, Segari.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara kampung terbabit ialah Kampung Padang Tembak di Lumut, Kampung Batu 3, Batu 4 dan Batu 5 di Segari, Kampung Parit Marikan, Kampung Pantai Tin, Kampung Tebuk Yan dan Taman Pantai Wang di Pantai Remis.

Menurutnya, keadaan cuaca ketika ini yang kurang baik dengan hujan lebat sejak semalam dan air pasang penuh menyebabkan banjir berlaku, malah ada beberapa kawasan yang sebelum ini tidak dinaiki air turut terjejas.

"Ketika ini kita sudah melakukan persiapan awal dan penduduk dipindahkan dengan jabatan berkaitan juga membuat pemantauan.

"Fenomena air pasang penuh yang disusuli hujan berterusan menyebabkan banjir berlaku dan sehingga kini masih hujan namun kita sentiasa dalam keadaan siap siaga," katanya ketika ditemui melawat pusat pemindahan di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan pusat dapat memberi perhatian sama kepada negeri ini berikutan situasi ketika ini.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 2:21pm
d