mutakhir

Dugaan Ustaz Sempoi

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIADA kata dapat menggambarkan perasaan keluarga apabila melihat graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran tidak dapat berjalan dan lemah sebelah badan, seminggu sebelum Majlis Konvokesyen ke-21 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru, Georgetown, hari ini.

Lebih menyedihkan apabila graduan terbabit, Abdul Razak Abdul Karim, 47, ibarat hilang ingatan apabila tidak lagi mengingati setiap perkara yang berlaku selain tidak boleh bertutur.

Adiknya, Siti Fatimah Abdul Karim, 37, berkata, Abdul Razak yang juga guru agama di Madrasah Khairiah Islamiah, Pokok Sena, Kepala Batas mengikuti pengajian di OUM sejak 2013.

Katanya, selepas badannya lemah, dia dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik terdekat dan laporan awal mendapati Abdul Razak mempunyai tumor di kepala.

"Kami masih terkejut dengan keadaannya kerana dia memang bersemangat melakukan persiapan di majlis ini bersama rakan baik sejak kecil, Ustaz Azman (Azman Md Said, 40), yang turut bergraduasi pada hari ini.

"Abdul Razak akan menjalani rawatan pertama esok di hospital berhampiran dan kami berharap kesihatannya akan pulih supaya dia dapat mengejar cita-citanya sebagai pensyarah kelak," katanya.

Hadir sama bagi memberi sokongan serta meraikan kejayaan Abdul Razak ialah keluarga, Azman dan lima pelajar madrasah berkenaan.

Sementara itu, pelajar, Khairi Ramli, 21, berkata, Abdul Razak turut dikenali sebagai 'Ustaz Sempoi' dalam kalangan pelajar berikutan sikapnya yang ramah, suka membantu dan prihatin terhadap masalah berkaitan pelajaran.

Katanya, selain menjadi imam di kariah itu, Abdul Karim turut aktif dalam kerja amal sebagai pembimbing ibadah umrah dan haji dan melakukan aktiviti pengurusan jenazah.

"Walaupun sebak melihat keadaannya, tetapi kami merancang tidak mahu menunjukkan kesedihan itu sebaliknya menunjukkan kegembiraan terhadap pencapaiannya.

"Sebagai anak didiknya, sudah tentu kami berasa bangga dengan keazaman beliau dalam menuntut ilmu dan menjadi inpirasi kepada pelajar," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 2:44pm
d