mutakhir

Pastikan mangsa banjir terima sumbangan

Oleh Rahayu Mohd Salleh

KELETIHAN memandu lebih lima jam dalam renyai malam bagaikan tidak terasa saat melihat wajah ceria penerima sumbangan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas, Pasir Mas.

Sebahagian peserta konvoi sukarelawan pacuan empat roda itu ada yang datang dari Gerik, Perak manakala sebahagian lagi dari Kuala Lumpur namun mereka bertemu di PPS berkenaan yang menghimpunkan lebih 1,000 mangsa banjir termasuk dari lapan kampung sekitar.

Kunjungan konvoi sukarelawan Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) di SK Gelang Mas diketuai Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini menceriakan mangsa yang turut terdiri daripada ibu hamil dan orang kurang upaya (OKU).

Shamsul berkata, melihat keadaan cuaca kini, kebarangkalian untuk keadaan banjir berulang memang ada justeru pihaknya sudah menyediakan persiapan sewajarnya.

Beliau berkata, sehingga kini, kira-kira 5,000 bungkusan makanan disediakan untuk mangsa banjir di Kelantan yang sebahagiannya sudah diagihkan.

Menurutnya, kit sumbangan terbabit berisi beras, sardin, mi segera, biskut, teh dan kopi.

"Meskipun mangsa banjir ini sudah melalui keadaan ini berulang kali, kita tetap simpati terhadap nasib mereka. Kerajaan juga mengambil langkah jangka panjang menanganinya manakala usaha membantu mangsa banjir dilaksanakan menerusi peringkat bahagian parti untuk lebih memudahkan sumbangan bantuan," katanya.

Shamsul turut mengunjungi PPS Sekolah Menengah kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas dengan jumlah penyerahan bagi kedua-dua PPS sebanyak 200 kit makanan.

Sementara itu, Pengerusi Logistik BiKUM Muhammad Solihin Abdul Majid berkata, dua hari lalu sebanyak 455 kit berkenaan sudah dihantar ke Ketereh dan Pasir Puteh.

Petang Jumaat ini, sebanyak 1,200 kit makanan bakal diagihkan di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Rantau Panjang.

Hadir sama, Pengerusi JKKKP Gelang Mas Che

Hussin Che Busu.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 4:32pm
d