mutakhir

Tak dengar larangan penduduk

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

LELAKI berusia 26 tahun lemas selepas motosikal yang ditunggang terjatuh dalam tali air di Kampung Kenak, Pasir Mas, hari ini.

Mangsa ditemui 1.30 tengah hari dalam jarak 15 meter dari lokasi dia terjatuh.

Saksi kejadian, Mesbahudin Mustapa, 50, berkata, kejadian berlaku 9.30 pagi ketika dia berada di rumahnya berdekatan lokasi.

Katanya, seorang penduduk datang ke rumahnya dan memaklumkan melihat seorang penunggang motosikal terbabas ke dalam tali air.

"Ketika itu paras air atas jalan setinggi 0.5 meter, manakala dalam tali air lebih dua meter dan arus terlalu deras menyebabkan mangsa tidak nampak jalan utama sebelum motosikalnya masuk ke tali air.

"Penduduk kampung yang ada di lokasi melarang mangsa supaya jangan melalui jalan itu kerana ada tali air dan mungkin dia tidak mendengar kerana memakai topi keledar.

"Sebaik mangsa terjatuh, penduduk terus menghubungi pihak polis dan bomba untuk operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor Wan Ramzi Wan Ibrahim berkata, seramai lapan anggota termasuk tiga pegawai dari Balai Kota Bharu dan lima Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian.

"Operasi mengambil masa selama 15 minit dan ketika ditemui mangsa masih bertopi keledar.

"Motosikal mangsa masih belum ditemui kerana arus air terlalu deras," katanya.

Katanya, mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Keterangan gambar:

1.Polis mengangkat jenazah lelaki yang ditemui lemas di tali air Kampung Kenak, Pasir Mas, hari ini.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 5:25pm
d