mutakhir

Cuti sekolah, jangan main banjir

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

MURID dan pelajar yang terjejas banjir dinasihatkan tidak menghabiskan cuti persekolahan dengan bermain air banjir.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Kelantan, Muhammad Zahari Othman berkata, sepanjang musim banjir, mereka perlu berada dalam kawalan penjaga dan di kawasan selamat tidak kira di rumah atau di PPS.

"Ini kerana mereka berisiko dihanyutkan arus deras atau terjatuh ke dalam sungai.

"Sepanjang cuti persekolahan ini, jaga diri baik-baik dan berharap sesi persekolahan pada awal tahun depan dapat dijalankan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu Muhammad Zahari berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sudah mengemukakan peruntukan kepada bahagian kewangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membaik pulih sekolah yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Pengarahnya, Muhammad Zahari Othman berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan dan masih menunggu keputusan lanjut.

Katanya, pihaknya mengenal pasti 51 sekolah di negeri ini yang terjejas sama ada dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) atau ditenggelami banjir.

"Daripada jumlah itu, pihak jabatan menganggarkan tidak lebih daripada 10 sekolah yang ditenggelami banjir terutama di daerah Tumpat dan Pasir Mas.

"Pihak kami sedang meneliti kos kerana kebiasaannya membabitkan kerosakan pada pintu bilik darjah, pintu tandas, tandas tersumbat dan pendawaian elektrik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sepetang Bersama Timbalan Pengarah Pendidikan di Dewan Sri Tunjung, Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang memperoleh keputusan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 boleh memohon sekolah berasrama penuh (SBP).

Katanya, calon perlu menduduki ujian kelayakan antara 11 hingga 15 Disember ini

di 11 pusat di negeri ini.

"Semakan keputusan boleh dibuat pada 30 Disember dan mereka yang layak boleh mendaftar masuk ke SBP yang terpilih pada 10 Januari tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 9:30pm
d