mutakhir

Bangla edar syabu RM1.2 juta [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LELAKI Bangladesh diberkas bersama syabu seberat 17.2 kilogram bernilai RM1.2 juta dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Siput, kelmarin.

Dalam serbuan 11.30 malam itu, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah bilik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak Asisten Komisioner V R Ravi Chandaran berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak yang mendapat maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah bertindak membuat serbuan.

“Hasil pemeriksaan di bilik hotel terbabit, polis menemui 17 paket plastik teh cina yang semuanya dimuatkan dengan syabu.

“Semakan mendapati warga Bangladesh terbabit sudah masuk ke negara ini dua tahun lalu dan pasport juga sudah tamat tempoh tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh hari ini.

Menurutnya, suspek dipercayai sudah berada di Sungai Siput sejak dua atau tiga minggu lalu.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat sama ada dadah itu hanya transit sebelum diedar di negeri atau negara lain.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan juga tiada rekod lampau.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 5 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 12:07pm
d