mutakhir

PNG1 bernilai RM350,000 [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

NOMBOR plat baru PNG di Pulau Pinang mendapat sambutan hangat dengan bidaan tertinggi RM350,000 bagi PNG1.

Plat berkenaan menjadi milik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pemaju hartanah terkemuka negara.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang Zulkarnain Yasin berkata, nombor pendaftaran PNG1 menjadi milik Datuk M Murly, selain ia turut mencatatkan sejarah baru di negeri itu dengan jumlah bidaan setinggi itu.

"Jumlah keseluruhan bagi permohonan bidaan PNG ialah RM1.9 juta membabitkan 738 pemohon yang berjaya.

"Bagi bidaan PNG1 pula, ia adalah yang tertinggi pernah direkodkan di negeri ini mengatasi nilai paling tinggi sebelum ini iaitu RM173,800 bagi nombor PNB1," katanya pada sidang media di Seberang Jaya, hari ini.

Zulkarnain berkata, selain PNG1, PNG5 dan PNG9 menerima bidaan kedua dan ketiga tertinggi dengan masing-masing bernilai RM95,000 serta RM91,500.

Katanya, tempahan siri PNG mula dibuka pada 30 Oktober sehingga 13 November lalu dan menerima permohonan tertinggi iaitu sebanyak 1,554 pemohon.

"Pemohon boleh melihat keputusan bidaan nombor plat PNG yang mula ditampal di papan kenyataan Pejabat JPJ Pulau Pinang bermula hari ini," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 12:43pm
d