mutakhir

Tumpu pemeriksaan bas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 1,619 saman dikeluarkan dalam Operasi Bas (Op Bas) yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula 20 November hingga hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap 5,692 bas yang terdiri daripada bas persiaran, bas kilang, bas henti-henti dan bas mini dalam operasi itu.

“Kami menjalankan 905 operasi serentak di seluruh negara dengan menumpukan pemeriksaan terhadap bas.

“Daripada jumlah itu, 407 saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju, 209 tiada segi tiga keselamatan, 83 lampu brek dan 920 lain-lain kesalahan,” katanya selepas mengetuai Op Bas di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.

Sharul berkata, pihaknya turut membuat ujian saringan air kencing terhadap 2,524 pemandu bas dalam operasi itu.

“Berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan, 47 pemandu bas yang berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun didapati positif pelbagai jenis dadah.

“Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik daerah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan membabitkan bas di seluruh negara.

“Berdasarkan rekod, 9,462 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara membabitkan bas sepanjang 2016, manakala bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, 5,975 kemalangan direkodkan.

“Walaupun jumlah kemalangan dilaporkan berkurangan berbanding tahun lalu, namun kes kemalangan membabitkan bas sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan.

“Justeru, kami mengadakan operasi khas di seluruh negara yang memberi tumpuan kepada bas bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan kenderaan itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 1:19am
d