mutakhir

Usah mudah terpedaya

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diminta berwaspada dengan helah sindiket skim cepat kaya yang menyasarkan bekas pesara sebagai mangsa.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata sindiket itu aktif memperdayakan pesara kononnya skim kewangan kendalian mereka mampu menjana pendapatan lumayan semata-mata untuk meraih keuntungan segera hasil imbuhan wang yang diterima pesara selepas menamatkan perkhidmatan.

“Saya nasihatkan semua anggota termasuk pesara jangan terlibat dengan skim cepat kaya ini kerana terpedaya dengan janji pulangan yang tidak munasabah... dasar TLDM juga jelas sekiranya terdapat anggota yang terlibat dengan skim ini, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib,” katanya kepada pemberita selepas meraikan 126 pesara Zon Lembah Klang dan Zon Selatan di KD Sri Gombak, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihati pesara TLDM untuk merancang kewangan mereka secara bijak dan tidak membuat pelaburan yang boleh menjejaskan diri sendiri dan keluarga masing-masing.

Ahmad Kamarulzaman turut mengingatkan anggota dan pesara TLDM supaya menghindari daripada terlibat menyebar maklumat palsu melalui penggunaan media sosial hingga mampu mengancam keselamatan negara.

Mengulas persiapan menghadapi banjir di pantai timur, beliau berkata tahap kesiapsiagaan TLDM kini di tahap paling tinggi untuk membantu mangsa banjir.

Katanya, semua markas TLDM terutama Markas Wilayah Laut 1 di Kuantan, Pahang dan Pasukan Simpanan Sukarelawan TLDM di Setiu, Terengganu bersedia untuk digerakkan jika perlu.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 6:58am
d