mutakhir

Pengasuh kebas RM30,000

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Seorang wanita menggunakan peluang ketika mengasuh anak jirannya yang berusia dua bulan untuk mencuri barang kemas milik mangsa dianggarkan bernilai RM30,000 sebelum digadai untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian di sebuah rumah di Kampung Kelubi di sini, itu disedari pemilik barang kemas terbabit pada 18 November lalu sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, mangsa mendakwa barang kemas iaitu rantai leher, cincin, anting-anting, miliknya, suami dan bayi mereka didapati hilang selepas dia melakukan pemeriksaan.

“Mangsa mendakwa pada 12 November lalu dia menyimpan barang kemas itu dalam lipatan seluar jean milik suaminya sebelum diletakkan di atas rak di dalam bilik tidur namun semuanya hilang secara tiba-tiba.

“Kami panggil beberapa individu termasuk pengasuh berusia 41 tahun itu untuk diambil keterangan 22 November lalu pada mulanya dia menafikan mengambil barang kemas berkenaan.

“Lalu kami ke rumahnya terletak selang tiga kediaman dari rumah mangsa, hasil pemeriksaan kami menjumpai surat pajak tertera barang kemas dilaporkan hilang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, semalam.

Arshad berkata, suspek kemudian mengaku mencuri barang kemas milik mangsa sebelum digadai di sebuah kedai pajak di Gemencheh, Negeri Sembilan dengan memperoleh wang tunai RM7,000.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 7:44am
d