mutakhir

Dah tak takut pegang ular

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: “Keyakinan untuk berdepan ular berbisa seperti tedung selar dan senduk seolah-olah hadir dalam diri saya selepas mengikuti kursus pengendalian binatang berbisa selama dua hari.

“Saya kini mampu memegang ular walaupun masih ada perasaan bimbang, teknik memegang kepala reptilia itu dengan betul dapat mengelak kejadian buruk berlaku,” kata Azqan Dalila Ahmad Tajudin, 31.

Azqan Dalila yang juga pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh berkata, sebelum ini dia begitu takut dan geli untuk memegang ular namun kini perasaan itu dapat diatasi walaupun tidak seratus peratus.

Katanya, perasaan geli dan takut perlu dibuang jika seseorang itu ingin memegang ular tidak mengira apa jenisnya sama ada berbisa atau tidak kerana sedikit kesilapan boleh mengundang padah.

“Penggunaan alat penyepit dengan berkesan selain teknik memegang kepada ular yang betul perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan reptilia ditangkap tidak terlepas dan menyerang.

“Jika tidak ada kemahiran individu terbabit tidak perlu berlakon berani kerana sedikit kesilapan akan mengundang padah dan boleh membawa maut,” katanya ditemui dalam Majlis Penutup Kursus Pengendalian Binatang Berbisa disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Samsu Anuar Nawi di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing di sini, semalam.

Kursus dua hari itu mendapat bimbingan pakar ular Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Temerloh, Abu Zarin Hussin disertai 30 kakitangan JPNP termasuk enam wanita.

Program membabitkan teori dan latihan amali seperti cara menangkap, teknik memegang dan tindakan awal jika dipatuk ular berbisa.

Azqan Dalila berkata, kakitangan JPNP perlu memiliki kemahiran berdepan ular berbisa seperti tedung selar bagi membantu ketika berlaku kecemasan ketika bertugas dalam hutan.

Bagi Zulaila Abd Jalil, 48, berkata kursus disertai memberikan semangat dan keyakinan terhadap kemampuan menangkap dan memegang ular jika terserempak haiwan berbisa itu.

“Saya seperti tidak percaya apabila boleh menangkap dan memegang ular ketika latihan amali diadakan, sokongan jurulatih (Abu Zarin) menjadi dorongan membuktikan kebolehan yang ada.

“Sebelum ini, saya takut dan geli dengan ular, tetapi sekarang perasaan itu hilang, bagaimanapun untuk keselamatan saya tidak akan cuba berdepan dengan ular berbisa seperti tedung selar dan beberapa spesies lain,” katanya yang bertugas di PLPP Belimbing.

Sementara itu, Samsu Anuar berkata, kakitangan JPNP perlu memiliki kemahiran berdepan ular terutama ketika menjalankan tugas di kawasan hutan yang menjadi habitat reptilia berkenaan.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 7:50am
d