mutakhir

'Siap sedia bila-bila masa'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No 10 Skuadron Pangkalan Udara Kuantan, di sini, kelihatan tekun mendengar penerangan mengenai operasi menyelamat dan menghantar bantuan kepada mangsa banjir dalam Ops Murni.

Sejurus diberikan penerangan itu lapan anggota termasuk Pasukan Khas Udara (PASKAU) menuju ke helikopter jenis Eurocopter EC725 AP di depan hangar di Pangkalan Udara berkenaan.

Selepas segala persiapan dilakukan, helikopter berkenaan berlepas ke kawasan terjejas banjir yang tidak dapat diakses menggunakan jalan darat.

Itu antara senario dalam simulasi Ops Murni TUDM sebagai persiapan menghadapi banjir di negeri ini. Sebanyak dua aset digerakkan bagi menghadapi bencana itu dan ia berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan apa saja kemungkinan termasuk jika banjir semakin kritikal.

Walaupun Pahang belum berdepan bencana itu namun TUDM bersedia sepenuhnya, malah bilik operasi banjirnya juga tersedia sejak lebih sebulan lalu.

Komander Pangkalan Udara Kuantan Brigedier Jeneral, Datuk Nor Mohamad Akmar Mohammad Dom berkata, bukan di Pahang saja sebaliknya TUDM bersedia membantu mangsa banjir di negeri lain yang terjejas terutama di Kelantan dan Terengganu.

Katanya, kebiasaannya aset mereka digunakan selepas sesuatu kawasan terjejas banjr terputus hubungan dan tidak lagi dapat diakses mengunakan jalan darat atau bot penyelamat.

“Bilik operasi banjir dibuka selepas Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) negeri dibuka. Kami memantau keadaan banjir menerusi satelit dan perhubungan komunikasi daripada agensi berkaitan.

“Jika ada permohonan daripada PKOB negeri, baru kami gerakkan aset serta anggota untuk membantu mangsa atau menyalurkan bantuan seperti makanan kepada mereka,” katanya.

Katanya, bagi bantuan di Terengganu dan Pahang, mereka menerima permohonan daripada Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu, sama ada memerlukan bantuan pesawat atau anggota.

Menurutnya, apabila banjir, Pangkalan Udara Kuantan mengawal segala pergerakan udara apabila helikopter milik pasukan keselamatan lain seperti polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) termasuk persendirian diletakkan di pangkalan berkenaan.

“Ketika itu, segala barang bantuan ditempatkan di sini dan agihan bantuan ditentukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala kami menghantarnya ke kawasan dikenal pasti.

“Kami bersedia menghantar bantuan pada bila-bila masa termasuk pada waktu malam namun semuanya bergantung kepada keperluan serta keutamaan sesuatu keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan pengurusan banjir kali ini lebih tersusun dan teratur berbanding tahun sebelumnya berikutan persediaan dilakukan pihaknya serta agensi lain termasuk memperbaiki saluran komunikasi.

“Tidak dapat dinafikan pengurusan banjir sebelum ini kelam-kabut kerana ada beberapa masalah komunikasi antara agensi terbabit namun kali ini kami memperbaikinya terutama apabila Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Banjir Pusat (NADMA) ditubuhkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 8:10am
d