mutakhir

Air naik lagi di Kelantan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan meningkat kepada 14,335.

Angka itu mencatatkan peningkatan berbanding 13,935, pada kira-kira 12 tengah malam tadi.

Jumlah itu membabitkan 5,724 keluarga yang ditempatkan di 66 PPS di Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh Tumpat dan yang terbaru di Gua Musang.

Di Gua Musang, tiga PPS dibuka menempatkan 142 mangsa membabitkan 32 keluarga.

Bagaimanapun, jumlah itu akan berkurangan berikutan PPS di SMK Tengku Indera Petra 1, Gua Musang, yang dibuka pada kira-kira 1 pagi Jumaat, akan ditutup dalam masa terdekat berikutan banjir surut.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 10,770 membabitkan 4,522 keluarga di 42 PPS.

Tumpat turut merekodkan jumlah tinggi dengan 2,264 mangsa ditempatkan di enam PPS dan dijangka jumlah bertambah berikutan hujan sejak malam tadi.

Daerah lain adalah Kota Bharu masih kekal 214 mangsa dan Tanah Merah masih terdapat 124 ditempatkan di tiga PPS.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.29 meter (m).

Empat sungai di Sungai Galas (34.38 m), Sungai Lebir (27.37 m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (20.56 m) dan Sungai Golok di Jenob (21.92 m).

Dua puluh dua jalan masih ditutup kepada kenderaan berikutan dinaiki air.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 9:35am
d