mutakhir

Bertabahlah wahai adik Jafri

Oleh Ramli Ibrahim

PPS di SMK Tengku Indera Petra 1, Gua Musang, yang dibuka kira-kira 1 pagi Jumaat, hanya beroperasi beberapa jam berikutan banjir surut.

Pusat itu dibuka untuk menempatkan 58 mangsa daripada 13 keluarga dari bandar Gua Musang, Kampung Kundur dan Kampung Tiong serta sekitarnya.

Tinjauan awal hari ini turut mendapati hanya ada beberapa ahli keluarga mangsa masih berada di PPS manakala penduduk lain pulang bersih rumah.

Kamariah Deris, 59, dari Kampung Batu 1 menganggap banjir itu sesuatu yang pelik kerana berlaku mendadak dan hanya beberapa jam.

“Hujan tidak lebat seperti sebelum ini. Tapi air Sungai Galas naik dan melimpah seperti empangan pecah.

“Nak selamatkan barang pun kami tak sempat. Hanya segera mengharung banjir untuk pindah ke tempat selamat.

“Mulanya, saya tujuh beranak ke kawasan Tanah Perkuburan Islam yang tidak jauh dari rumah. Selepas itu pasukan penyelamat ambil kami,” katanya yang boleh pulang apabila banjir surut pada kira-kira 5 pagi.

Syarifah Mat Ali, 45, dari setinggan KTMB Gua Musang pula berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah banjir di bandar itu apabila air naik cepat dan surut beberapa jam.

Katanya, dia berpindah dalam sejam selepas Sungai Chinda melimpah dan memasuki rumah.

“Tak sempat buat apa-apa pun. Hanya ingat nak cepat ke tempat selamat kerana anak saya (Mohd Jafri Hisham, 12) baru berkhatan.

“Nak tak nak, terpaksa harung banjir ke pusat pemindahan,” katanya.

Selain PPS itu, dua lagi PPS turut dibuka di SK Limau Kasturi 2 dan SK Jeram Tekoh yang masih beroperasi untuk penempatan 84 mangsa.

Kedua-duanya dibuka pada 10 malam (SK Jeram Tekoh) dan 3 pagi (SK Limau Kasturi 2).

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 10:02am
d