mutakhir

963 mangsa banjir Manjung

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

JUMLAH mangsa banjir di Manjung, Perak kini seramai 963 orang membabitkan 225 keluarga setakat 7.30 pagi hari ini.

Kesemua mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 709 mangsa pada 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, setakat ini jumlah mangsa yang ramai adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Pantai Remis membabitkan seramai 438 orang daripada 100 keluarga dan diikuti Sekolah Agama Rakyat Tebuk Yan, 207 orang daripada 52 keluarga.

“Pusat pemindahan di SK Dato' Ishak menempatkan 130 orang daripada 32 keluarga dan di SK Nakhoda Mohamad Taib pula seramai 26 orang daripada lapan keluarga.

“Sementara itu, di Dewan Orang Ramai BNBBC Batu 4, Segari seramai 92 orang daripada 20 keluarga di tempatkan di situ dan Dewan Orang Ramai Batu 8, Segari seramai 48 orang membabitkan lapan keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, PPS terbaru dibuka adalah di SK Muhamad Saman di Pasir Panjang, Sitiawan yang dibuka pada 11 malam tadi dan menempatkan 22 orang daripada lima keluarga.

Bagaimanapun, keadaan cuaca pagi ini adalah cerah dan tidak hujan terutama di Pantai Remis yang terjejas teruk.

Banjir berlaku berpunca dari hujan lebat berterusan dan disusuli air laut pasang penuh.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 10:07am
d