mutakhir

Banjir Terengganu masih sama

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

JUMLAH mangsa banjir di Terengganu tidak menunjukkan banyak perubahan apabila hanya 48 mangsa daripada 12 keluarga pada 9 pagi ini berbanding 49 mangsa daripada 13 keluarga tengah malam tadi.

Menurut Sektariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, semua mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) masing-masing satu di Besut dan Setiu.

Jumlah mangsa di Besut kekal seramai 21 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsan Tembila.

Di Setiu, seorang mangsa daripada satu keluarga dibenarkan pulang pagi tadi menjadikan jumlah terkini mangsa seramai 27 orang daripada lima keluarga berbanding seramai 28 mangsa daripada enam keluarga tengah malam tadi yang ditempatkan di PPS Surau Kampung Nyatoh.

Sementara itu, portal publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan paras air di Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu kini mencatatkan paras bahaya iaitu 21.69 meter berbanding paras normal 21.50 meter.

Dua lagi sungai iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu pula mencatatkan paras amaran.

Paras air di Sungai Chalok mencatatkan bacaan 8.03 meter manakala di Sungai Telemong pula mencatatkan bacaan 19.68 meter.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 11:20am
d