mutakhir

'Kasih Nabi Membawa ke Syurga'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

KIRA-kira 5,000 umat Islam membabitkan 77 kontinjen jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat sekitar Kluang, Johor menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri hari ini.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencemar duli mengetuai perarakan sambutan berkenaan yang bermula di Bangunan Arked MARA dan berakhir di Masjid Jamek Bandar Kluang.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Abd Mutalip Abd Rahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani.

Sambutan dimulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, bacaan ayat suci al-Quran selain syarahan agama bertajuk 'Kasih Nabi Membawa ke Syurga' yang disampaikan Kadi Daerah Kluang Mohd Taufik Shamsudin.

Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan anugerah kepada semua pemenang perarakan termasuk Anugerah Kontinjen Jabatan Kerajaan Terbaik yang dimenangi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala serta sijil.

SAJ Ranhill Sdn Bhd pula memenangi Kategori Kontinjen Swasta dan NGO manakala Pejabat Kesihatan Kluang dan Masjid Jamek Kampung Tengah, masing-masing memenangi Kategori Sepanduk Terbaik Jabatan Kerajaan serta Swasta dan NGO Terbaik.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula memenangi Kategori Kontinjen Paling Ramai dengan menghantar 250 anggotanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 11:38am
d