mutakhir

Kasih ibu sampai ke syurga

Oleh Syaherah Mustafa

IBU muda yang baru lima hari melahirkan anak sulung, menangis ketakutan sambil memangku bayinya ketika dibawa menaiki perahu sejauh kira-kira 500 meter meredah banjir untuk ke lokasi selamat di Kampung Banggol Ubi Keling, Rantau Panjang.

Ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok hari ini, Che Suriani Che Azhar, 18, berkata, dia ketakutan apabila perlu berperahu meredah arus deras untuk ke kawasan selamat.

“Saya berpantang di rumah keluarga mentua dan jam 10 malam Selasa lalu, air naik sehingga kira-kira 1.5 meter menyebabkan kami perlu berpindah.

“Bapa mentua (Ismail Mohamad, 44) menasihati saya supaya membawa bayi lelaki ke PPS kerana bimbangkan keselamatan kami.

“Ketika berada dalam perahu, saya yang ketakutan terfikir pelbagai perkara apatah lagi bayi baru berusia lima hari selain saya masih merasa sakit selepas bersalin menyebabkan saya menangis,” katanya.

Menurutnya, selepas tiba ke lokasi selamat, jirannya pula membantu menumpangkan mereka menaiki pacuan empat roda untuk ke PPS sejauh kira-kira satu kilometer dari lokasi itu.

Che Suriani berkata, bayinya masih belum didaftarkan dan dia serta suami, Mohd Faris Sulaiman, 19, bercadang menamakan anak mereka Mohd Aryan Hassan.

“Insha Allah, selepas banjir surut, kami akan daftarkan nama anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Menurutnya, turut bersyukur kerana petugas PPS banyak membantu termasuk menempatkan mereka di bilik memandangkan bayinya masih kecil.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 12:40pm
d