mutakhir

'Banyakkan majlis zikir' - Sultan Terengganu

Oleh Helmy Abd Rahman

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang mempertikaikan kedudukan Islam di dalam perlembagaan negara ini.

Baginda bertitah, perkara sedemikian boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam selain menjejaskan keharmonian masyarakat yang menganut pelbagai agama di negara ini.

"Mutakhir ini, kedengaran suara-suara yang mencabar kesucian ajaran Islam dan mempertikaikan kedudukan Islam dalam perlembagaan negara kita.

"Justeru, beta menyeru dan menggesa MAIDAM serta JHEAT mengambil tindakan dalam menangani perkara seperti ini kerana jika dibiarkan akan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1439H/2017M di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong.

Sultan Mizan turut mencadangkan supaya diadakan kuliah, seminar, kursus, khutbah, edaran risalah dan pelbagai kaedah lain setiap kali berbangkitnya isu semasa yang menimbulkan kecelaruan dalam beragama dalam kalangan masyarakat.

"Beta juga menggesa supaya diperbanyakkan majlis zikir yang dibenarkan syarak di dalam negeri ini, semoga cahaya kebaikan zikrullah dapat menghapuskan kejahatan, di samping mendapat barakah dan reda daripada Allah," titah baginda.

Kira-kira 5,000 terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat berhimpun di Stadium Negeri untuk menjayakan majlis sambutan berkenaan.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 1:33pm
d