mutakhir

Kami mahu jaga harta benda

Oleh Ramli Ibrahim

SEBELAS keluarga membabitkan 55 mangsa di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang lebih selesa berpindah ke puncak bukit berhampiran bagi menjaga harta benda daripada jadi sasaran pencuri.

Mangsa yang terperangkap dalam banjir sejak malam tadi enggan berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2, yang dibuka sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sejak jam 3 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Limau Kasturi Mohd Sokani Mat berkata, sebahagian penduduk itu mempunyai rakit dan rumah buluh untuk dijadikan tempat simpanan barang.

“Memang rakit ini dibina penduduk untuk membawa harta benda sekiranya banjir. Ada 15 rakit dan rumah buluh di sini.

“Kerana itu mereka pilih untuk berpindah ke puncak bukit daripada ke PPS yang lebih jauh, mereka mahu menjaga harta benda daripada dicuri. Di bukit itu juga sudah dipasang khemah.

“Bagi yang membina rumah buluh, mereka berlindung di dalamnya kerana ia terapung serta tidak terjejas dengan banjir,” katanya ditemui, hari ini.

Penduduk, Rogayah Ismail, 61, berkata, dia masih belum berpindah kerana hanya bahagian dapur rumahnya yang dinaiki air.

Katanya, barangan rumah juga belum dikemas dan dia akan membawa keluarganya berpindah sekiranya paras air naik.

“Setakat ini (jam 2 petang hari ini), air nampaknya masih di paras sama dan rumah kami terkepung memandangkan jalan keluar masuk pun tenggelam disebabkan limpahan Sungai Galas.

“Nanti kami pindah sekiranya bahaya,” katanya.

Tinjauan ke kampung berkenaan mendapati ada rumah terletak berhampiran sungai tenggelam sehingga paras bumbung manakala yang lain dinaiki air lebih semeter.

Kampung itu dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam selain dilimpahi air Sungai Galas yang meningkat sehingga melepasi paras bahaya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Datuk Nozula Mat Diah ketika ditemui melawat kampung itu menasihati penduduk supaya berpindah ke PPS disediakan untuk keselesaan dan memudahkan urusan menyalur bantuan.

“Kalau mereka berpindah di atas bukit, ia sudah tentu menyukarkan untuk kita menghulurkan bantuan kerana tiada dalam senarai perpindahan.

“Saya nasihatkan, pindah ke PPS untuk memastikan kebajikan mereka dipelihara,” katanya.

Sehingga 2 petang hari ini, Gua Musang membuka satu PPS di SK Limau Kasturi 2 yang menempatkan 47 mangsa daripada 11 keluarga.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 3:20pm
d