mutakhir

Bantuan sampai 'sepantas kilat'

Oleh Mohammad Ishak

DUA pemandu terselamat walaupun kereta mereka hampir ditimpa pokok mempelam di Kampung Denger dekat Jertih, hari ini.

Kejadian ketika kedua-dua kereta berkenaan dari arah bandar Jertih ke Kuala Besut, pada 10.30 pagi.

Saksi, Yusof Ali, 74, berkata kejadian berlaku apabila pokok mempelam berusia 60 tahun itu tiba-tiba tumbang merintangi laluan terbabit.

Katanya, agak bernasib baik apabila pokok itu tumbang hanya beberapa detik apabila kenderaan itu melepasinya.

“Pemandu kereta di belakangnya pula sempat membrek sekali gus menyelamatkannya daripada ditimpa pokok itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, penduduk sekitar kemudiannya memberitahu Jawatankuasa Banjir Daerah bagi bantuan mengalihkan pokok terbabit.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudiannya ke tempat kejadian.

Menurutnya, mereka potong dan mengalihkan pokok terbabit serta mengawal lalu-lintas.

Difahamkan, berlaku kesesakan lalu-lintas kira-kira dua jam di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua BBP Jertih, Mustafa Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan jalan itu sudah boleh digunakan semula seperti biasa.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 3:58pm
d