mutakhir

Rembat ubat gigi pun jadilah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LIMA belas kotak ubat gigi berharga RM260.50 dicuri daripada farmasi di pusat beli belah di Sungai Petani di sini, ditemui semula selepas pelakunya, lelaki berusia 35 tahun, dilanggar kereta ketika cuba melarikan diri, kelmarin.

Pada kejadian jam 11 pagi, pekerja wanita farmasi itu menyedari lelaki terbabit sedang memasukkan ubat gigi ke beg sandang sebelum ia dimaklumkan kepada rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, mereka kemudian mengekori suspek yang keluar dari premis itu ke tingkat atas menggunakan eskalator.

Menurutnya, suspek kemudian turun semula ke tingkat bawah dan keluar dari pusat beli belah itu menggunakan pintu bersebelahan bilik pengawal keselamatan

“Pekerja terbabit memaklumkan kepada pengawal keselamatan menyebabkan berlaku pergelutan dengan suspek yang cuba melarikan diri.

“Suspek bagaimanapun dapat melepaskan diri sebelum dikejar. Tidak lama kemudian, suspek dilanggar kereta sebelum ditahan dan diserahkan kepada kami,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, semua ubat gigi terbabit ditemui dalam beg sandang suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek direman hingga Ahad ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 5:57pm
d