mutakhir

Semalam sunat, hari ini pindah

Oleh Helmy Abd Rahman

BARU semalam bersunat, hari ini terpaksa berpindah.

Itu pengalaman terpaksa ditempuh dua sepupu, Muhammad Amirul Hakim Abd Hamid, 11, dan Syazuan Firdaus Azwan, 10, yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Marang selepas rumah mereka di Kampung Kijing, Marang, dinaiki air, hari ini.

"Tak sangka pula selepas sehari bersunat, banjir melanda kampung kami.

"Memang susah sikit sebab saya baru bersunat tapi OK saja.

“Lagipun tadi ada abang polis tolong angkat dan bawa kami ke sini," kata Muhammad Amirul ketika ditemui.

Murid tahun lima SK Rhu Rendang itu berkata, dia harap dapat pulih segera bagi membantu keluarganya membersihkan rumah selepas banjir surut.

Sementara itu, ibu Muhammad Amirul, Noorfaiza Mohd, 45, berkata, mereka sekeluarga terpaksa berpindah selepas air naik ke paras pinggang.

"Selepas hujan selama beberapa jam, air mula naik dengan cepat. Sekejap saja sudah paras pinggang.

"Tahun ini air naik agak tinggi,” kata ibu kepada empat anak berusia 11 hingga 21 tahun itu.

Seramai 84 mangsa dari Kampung Kijing dan Ru Dua dipindahkan ke PPS SK Marang, semalam.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 7:55pm
d