mutakhir

'Rumah pun dah bocor sana sini'

Oleh Mohd Hilmie Hussin

LIMA belas penghuni tiga rumah warisan Melayu di Kampung Ketek, Banda Hilir, Melaka, nyaris maut apabila bumbung serambi runtuh.

Bumbung genting rumah kelolaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu runtuh dan menghempap dua motosikal, pada 12.45 tengah hari.

Namun, penghuninya bernasib baik kerana tidak berada di serambi ketika itu.

Penduduk, Mohammad Saifullah Norfirdaus, 27, berkata dia terkejut sebaik adiknya, Siti Sakinah, 25, memberitahu kejadian itu.

“Syukurlah semua berada dalam rumah. Kami harap PERZIM yang membiayai bangunan warisan di tanah milik MAIM ini segera membaikinya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Penduduk, Norizan Othman, 45, berkata dia bersama anak perempuannya berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat.

“Tiba-tiba terdengar bunyi kuat yang saya sangka bunga api. Tapi apabila saya buka pintu rumah, bumbung serambi yang roboh.

“Cucu mak cik saya selalu bermain di serambi itu. Tapi, mujur hari ini tidak,” kata Norizan.

Sementara itu, ibu saudaranya, Zaiton Karim, 70, yang juga jirannya turut menyuarakan kebimbangannya.

“Kadangkala mak cik tak benarkan pelancong naik kerana bimbang ditimpa bumbung serambi yang reput.

“Rumah mak cik pun bocor sana sini dan mak cik susah hati apabila setiap kali hujan,” kata Zaiton, yang tinggal bersama suaminya Din Ahmad, 80.

Zaiton berkata, rumahnya itu berusia lebih 100 tahun dan dipulihara PERZIM.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 8:41pm
d