mutakhir

'Biase doh boh gini...' [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SUDAH biasa dengan tengkujuh antara alasan diberikan empat keluarga di Kampung Binjai, Chendering, Kuala Terengganu enggan berpindah ke PPS.

Mereka yang terdiri daripada 10 mangsa banjir enggan berbuat demikian biarpun kawasan di persekitaran rumah dinaiki air lebih satu meter.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata beliau akan minta Ketua Balai Chendering meninjau dan memantau kawasan itu.

“Walaupun mereka sudah biasa, kita bimbang air naik dengan mendadak terutama pada sebelah malam dan menyukarkan kerja memindahkan mangsa.

“Oleh itu, saya harap semua mangsa banjir dapat mengikuti arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian lebih buruk,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Binjai, Chendering, Kuala Terengganu.

Terdahulu, Idris turut melakukan tinjauan banjir di kawasan di sekitar Kuala Nerus.

Idris berkata, semua mangsa banjir juga dinasihatkan untuk menyimpan dokumen penting dan barangan berharga ke tempat selamat.

Katanya, pihaknya turut berterima kasih kepada semua agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang turut membantu.

Sementara itu, di Kuala Nerus, penduduk di kawasan penempatan berhampiran Sungai Nerus, bersedia untuk berpindah.

Penduduk Kampung Jeram Hilir, Mariam Ismail , 66, berkata, dia yang menetap bersama lima ahli keluarganya, termasuk bayi lelaki tiga bulan sudah mengemaskan barangan keperluan termasuk dokumen penting dan hanya menunggu arahan untuk berpindah.

“Air sungai mula memasuki alur berdekatan rumah kami sejak tiga hari.

“Keadaan itu menyebabkan kawasan halaman rumah dinaiki air sehingga paras lutut.

“Kawasan rumah kami memang biasa dinaiki air dan situasi itu menyebabkan kami sentiasa berwaspada,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 9:47pm
d