mutakhir

Wang lama jadi terapi diri

Oleh Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani:Duit lama mungkin dianggap tidak bernilai, namun berbeza bagi seorang pengurus Pusat Internet 1Malaysia yang memulakan hobi mengumpul wang lama sejak tujuh tahun lalu.

Aman Shafrie Ahmad, 30, dari Taman Ria di sini, berkata, hobi itu bermula sejak zaman kanak-kanak apabila dia menemui sekeping duit syiling lama dipercayai digunakan pada zaman pendudukan British di Tanah Melayu sekitar 1950-an.

“Ketika usia lapan tahun saya berkunjung ke rumah kenalan ibu dan menjumpai sekeping syiling lama.

“Saya tertarik dengan syiling lama itu hingga membuatkan saya menyimpannya sehingga ke hari ini.

“Dari situ, bermula minat saya mengumpul koleksi wang. Pada awalnya saya hanya mengumpul wang kertas beberapa negara yang diberikan bapa saudara yang gemar mengembara.

“Namun selepas bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri saya mula fokus kepada minat mengumpul wang lama terutama yang digunakan di negara ini bermula daripada zaman Kesultanan Melayu lama sehingga keluaran terbaru,” katanya.

Minatnya itu didorong selepas menyertai Persatuan Numismatik Kesultanan Melayu Malaysia atau dikenali sebagai MASDINAR pada 2012.

Katanya, persatuan itu banyak memberi pendedahan kepadanya mengenai wang lama termasuklah cara mendapatkan koleksi barangan berkenaan.

Aman Shafrie berkata, sehingga kini 700 keping syiling dan 200 wang kertas lama disimpannya di dalam album khas.

Antara yang menjadi koleksinya adalah mata wang Kesultanan Kedah tahun 1200-an sehingga 1800-an, mata wang British di Negeri Selat tahun 1845 sehingga 1962 serta mata wang Kesultanan Sulu, Selangor, Kelantan, Pattani, Perak, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Portugis, Acheh dan Palembang sekitar 1400-an hingga 1900-an.

Selain itu, dia turut menyimpan mata wang British dan Belanda di gugusan Tanah Melayu pada 1700-an hingga 1800-an, mata wang British di Pulau Pinang pada zaman Francis Light, British North Borneo (Sabah), Sarawak dan Tanah Melayu pada 1600-an hingga 1900-an serta syiling keluaran Malaysia bermula 1967 sehingga keluaran terkini.

Menurut Aman Shafrie, hobinya itu menjadi pendapatan sampingan kepadanya apabila dia menjual koleksi wang lama berkenaan kepada penggemar wang lama lain.

“Pengumpul wang lama selalunya akan mendapatkan koleksi ini melalui kenalan sama ada menerusi persatuan atau pun mendapatkannya melalui dalam talian iaitu menggunakan media sosial atau laman sesawang yang menawarkan jualan wang lama.

“Wang lama yang sukar dijumpai contohnya mata wang zaman Francis Light dan Kesultanan Kedah adalah wang lama bernilai dan ada pengumpul sanggup menawarkan harga tinggi bagi mendapatkannya,” katanya.

Katanya, sehingga kini, dia membelanjakan lebih RM50,000 bagi koleksi wang lama yang dimilikinya itu.

“Saya tidak peduli orang anggap hobi ini pembaziran kerana ia cara mengenali lebih dekat sejarah negara sekali gus menghargai tanah air tercinta.

“Hobi ini dijadikan terapi buat diri saya selepas penat bekerja seharian dengan melihat dan mengkaji sejarah wang lama itu,” katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini turut menyunting buku ditulis Ahmad Azhan bertajuk Panduan Error Coin yang diterbitkan khas bagi memberi maklumat berkaitan wang lama kepada orang ramai.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 7:46am
d