mutakhir

Nak balik tapi tak boleh

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

EMPAT beradik yang baru berkhatan terpaksa berehat di PPS di SK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini, selepas kediaman mereka dinaiki air.

Muhammad Nasrullah DarwisyMohamad Nor Hisyam, 11; Muhammad Nasyran Arif, 9; Muhammad Naim Syakir, 8 dan Muhammad Nazmi Irsyad, 4, sebelum itu menyertai acara berkhatan anjuran Pejabat Penyelaras DUN Kuala Nerus.

Bagaimanapun, sebaik selesai acara itu, empat beradik bersama keluarga kemudian pulang ke rumah di Taman Desa Tanjung Damai.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kemudian memberitahu laluan utama ke rumah mereka dinaiki air.

Mohamad Nor Hisyam Maat, 32, berkata, mereka sekeluarga keluar rumah pada kira-kira 7 pagi.

“Ketika itu, air memang sudah naik tetapi tak sangka ia naik secepat itu.

“Apabila selesai, kami segera pulang namun pihak berkuasa memaklumkan kami perlu berpindah,” katanya yang baru sebulan berpindah di rumah itu.

Menurutnya, dia tidak begitu risau mengenai tahap keselesaan di pusat pemindahan namun bimbang sekiranya anaknya sakit pada sebelah malam.

“Alhamdulillah pasukan penyelamat memberi kerjasama yang baik kepada kami sekeluarga apabila segera mencari barangan keperluan untuk kami berehat.

“Namun, apa yang dibimbangkan adalah privasi anak memandang mereka baru bersuhat,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil peluang membawa empat anaknya itu untuk berkhatan memandangkan sekarang adalah musim cuti sekolah.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 7:08pm
d