mutakhir

Kantoi curi periuk, kuali

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

LELAKI bergadai nyawa terjun ke dalam sungai selepas kantoi mencuri peralatan memasak di satu kedai makan, di Sungai Tarom, Setiu.

Bagaimanapun, pencuri berusia 37 tahun dikesan dan diberkas polis, pada kira-kira 4 petang Sabtu.

Difahamkan, pencuri itu melakukan aktivitinya di kedai itu pada 4.15 pagi.

Pemilik kedai, Wan Nor Aisyah Hanim Wan Mohd Noor, 25, berkata, kejadian itu disedari pekerjanya yang sedang tidur di dalam kedai.

“Tiga tukang masak berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun warga Thailand memang tinggal dan tidur dalam kedai setiap hari.

“Ketika kejadian, seorang daripada mereka terjaga disebabkan bunyi bising barang jatuh. Mulanya, dia ingatkan kucing, rupanya pencuri.

“Pencuri itu sempat acu pisau dan kemudian melarikan diri dan pekerja saya cuba mengejarnya. Mujur waktu itu ada polis sedang meronda di kawasan ini,” katanya.

Wan Nor Aisyah Hanim berkata, pencuri itu dipercayai lari ke arah Sungai Tarom sebelum mengambil terjun bagi meloloskan diri.

“Saya dimaklumkan pencuri itu dapat ditahan pada kira-kira 4 petang, di kawasan berhampiran.

“Barang yang dicuri antaranya periuk dan kuali. Tangga tu, dia tinggalkan di belakang tandas awam Medan Selera Sungai Tarom. Tak sempat nak bawa lari.

“Ini adalah kejadian kedua kes kecurian berlaku di kedai saya. Kali pertama motosikal. Kena curi sekitar 4 pagi, pada Ogos lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 10:39pm
d