mutakhir

Trauma banjir 2014 [METROTV]

Oleh Asrizal Aris & Shahrul Redzuan

 

“DOAKAN semoga peristiwa banjir 2014 tidak berulang di bumi Kelantan,” kata Che Muji Ibrahim, 54, mangsa banjir di Bukit Jarum, Pasir Mas, yang masih trauma.

Biarpun setiap penghujung tahun majoriti penduduk di Kelantan sudah biasa menghadapi banjir, bagi Che Muji, dia sentiasa mendoakan supaya banjir besar tidak berulang.

Katanya, meskipun jumlah mangsa banjir di Kelantan catat penurunan selepas paras air kian surut, dia antara mangsa yang masih belum pulang ke rumah.

“Banjir banjir beberapa hari lalu adalah gelombang pertama dan saya difahamkan akan berlaku banjir lagi selepas ini.

“Saya masih teringatkan banjir 2014. Ketika itu, ramai yang pulang rumah. Tapi, berlaku banjir sekali lagi menyebabkan tiada jalan keluar menyelamatkan diri.

“Banjir semakin tinggi sehingga melepasi bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum, Pasir Mas.

Che Muji berkata, banjir 2014 menyebabkan semua peralatan dalam rumah, dokumen penting dan perabot musnah, termasuk mesin jahit kesayangannya yang menjadi sumber pendapatan sebagai tukang jahit.

Katanya, biarpun kurang selesa dengan suasana di PPS, dia masih belum yakin pulang ke rumah.

“PPS pula dekat dengan hutan dan kami sering diganggu nyamuk pada sebelah malam.

“Tambahan pula ramai mangsa yang tinggal di dewan terbuka tiada dinding.

“Tapi kami masih bersyukur ada tempat berteduh,” katanya yang memutuskan untuk pulang ke rumah jika tidak ada hujan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Bujok, Muhammad Zubir Jusoh, berkata dia sudah memberi amaran kepada mangsa banjir yang sudah pulang ke kediaman masing-masing supaya segera kembali ke PPS jika air naik semula.

Katanya, dia tidak mahu kejadian 2014 berulang apabila ada remaja yang dihanyutkan arus banjir sehingga tidak ditemui jasadnya sehingga ke hari ini.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 11:33pm
d