mutakhir

Dibadai ombak

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Empat nelayan terapung 30 minit di perairan Kuala Terengganu apabila bot dinaiki mereka terbalik selepas dipukul ombak besar dalam kejadian ribut kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 2.45 petang lima batu nautika dari perairan Kuala Terengganu ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang selepas 10 hari menangkap ikan.

Lima nelayan termasuk tekong berusia 25 hingga 52 tahun bagaimanapun diselamatkan kumpulan nelayan tempatan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Tekong bot, Rosli Abd Rahman, 52, berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, angin kuat beserta ombak besar tiba-tiba memukul bot dinaiki mereka.

“Ombak pertama yang datang menyebabkan bot kami senget sebelum sekali lagi bot dibadai ombak menyebabkan ia terbalik.

“Sebaik tercampak, kami segera berpaut pada pelampung yang ada sebelum diselamatkan nelayan lain. Ketika itu, hanya wajah ahli keluarga terbayang di fikiran dan kami tidak putus-putus berdoa agar diselamatkan segera,” katanya ketika ditemui di Jeti Jabatan Taman Laut Negeri Terengganu di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengkalan Jabatan Taman Laut Negeri Terengganu Mazelan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 3 petang sebelum mengarahkan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, empat nelayan sudah diselamatkan nelayan tempatan namun terpaksa bermalam di Pulau Bidong kerana keadaan ombak yang besar.

“Pagi tadi, kita membawa semua pulang dan selamat tiba di jeti jam 12 tengah hari sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 9:07am
d