mutakhir

Dibunuh kejam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA lelaki warga India maut dalam keadaan mengerikan dengan perut terburai dan tangan hampir putus dipercayai akibat ditetak beberapa individu berhampiran tempat kerja mereka di Taman Perindustrian Balakong Jaya, Kajang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, kedua-dua mangsa difahamkan ditemui oleh majikannya dalam keadaan cedera parah di perut dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.45 malam.

“Menurut saksi, kedua-dua lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kedudukan kedua-dua mangsa di jalan masuk dan keluar deretan bangunan kawasan perindustrian itu,” katanya hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, terdapat kesan tetakan dan tikaman di badan dan muka kedua-dua mangsa.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata.

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah warga India yang berusia lingkungan 20-an,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 4:30pm
d