mutakhir

Lebam teruk di badan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KANAK-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, semalam, dipercayai akibat didera oleh keluarga angkatnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 4 petang.

Beliau berkata, kanak-kanak malang itu dibawa oleh penjaganya dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.

"Berdasarkan keterangan daripada jiran mangsa, kanak-kanak berkenaan mempunyai kesan lebam yang teruk di badan.

"Jiran turut memaklumkan kanak-kanak terbabit sering didera oleh keluarga angkatnya kerana mereka terdengar suara kanak-kanak perempuan sedang menangis kesakitan," katanya.

Mohd Zani berkata, jiran mangsa kemudian membuat laporan polis untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

"Bagaimanapun setibanya polis di kediaman berkenaan, mangsa sudah dibawa penjaganya ke hospital," katanya.

Katanya, susulan daripada itu, polis menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia 23 hingga 57 tahun dipercayai keluarga angkat mangsa pada hari yang sama.

"Semua suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 5:11pm
d