mutakhir

Gagal sebar ajaran sesat di UniSZA

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

AJARAN sesat ‘World Mission Society Church Of God’ dikesan cuba disebar kumpulan diberi nama 'Mother of God' di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, yang menyasar penuntut bukan Islam.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Ab Latif berkata, pihaknya mengakui menerima aduan daripada penuntut mengenai usaha penyebaran ajaran sesat itu di UniSZA.

“Bagaimanapun, usaha penyebaran ajaran itu sejak 13 November lalu, hanya membabitkan penuntut bukan Islam dan tidak menyasar penganut Islam.

“Kita berjaya mengawal penyebaran ajaran itu hasil kerjasama semua pihak, termasuk penuntut dan polis.

“Malah, pihak yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran itu sudah dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di UniSZA, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Pendaftar UniSZA Ismail Ahmad.

Dr Ahmad Zubaidi berkata, semua penuntut dan kakitangan UniSZA diharap peka dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran pelik.

Katanya, pihaknya juga akan memperketatkan tahap keselamatan di UniSZA selain sentiasa membuat pemantauan dalam kalangan penuntut termasuk 568 penuntut bukan Melayu di UniSZA.

“Selain penganut Islam, kami menjaga kebajikan semua penuntut bukan Islam dan seboleh-bolehnya ingin mencegah mereka daripada terbabit dengan ajaran baru yang boleh menimbulkan pelbagai masalah," katanya.

Sebelum ini, tular penyebaran ajaran sesat mengaitkan Kristian dalam kalangan penuntut bukan Islam di UniSZA.

Ajaran itu dikesan disebarkan melalui beberapa individu yang kononnya menawarkan tawaran projek tahun akhir kepada penuntut bukan Islam.

Bagaimanapun, seorang penuntut yang ditemui kumpulan itu membuat laporan kepada pengurusan UniSZA selepas curiga dengan tawaran kumpulan berkenaan.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 11:15pm
d