mutakhir

Jangan hanya seronok nak kahwin

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Pelaksanaan kursus keibubapaan kepada bakal pengantin yang akan melangsungkan pernikahan adalah wajar dalam usaha membentuk keluarga yang benar-benar bahagia, bertanggungjawab dan bijak mengurus kewangan keluarga.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sokongan Keluarga Ceria Negeri Johor (PEKA) Azri Hohad berkata, bakal pengantin perlu diberi pendedahan awal atau sekurang-kurangnya ilmu asas mengenai keibubapaan meskipun mereka belum lagi bergelar ibu atau bapa.

“Segelintir pasangan bakal pengantin ini hanya fikir mahu berkahwin tanpa mereka menyedari tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan selepas perkahwinan itu.

“Lebih membimbangkan apabila ada pasangan yang berkahwin pada usia muda tidak mempunyai perancangan dan persediaan kewangan sehingga akhirnya wujud masalah dalam rumah tangga seterusnya berlaku perceraian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Azri berkata demikian ketika mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merancang menggabungkan kursus keibubapaan dengan kursus praperkahwinan untuk semua bakal pengantin.

Azri berkata, melalui kursus keibubapaan itu, bakal pengantin bukan saja lebih bersedia malah mereka juga boleh membuat perancangan awal dalam membentuk keluarganya sendiri.

“Ilmu ini juga penting sekiranya pasangan berkenaan dikurniakan cahaya mata di awal perkahwinan yang mana mereka sudah ada pengetahuan mengenai cara mendidik dan membesarkan anak.

“Tidak salah sekiranya kursus keibubapaan ini diwajibkan sama seperti kursus praperkahwinan dalam usaha mengurangkan peningkatan kadar perceraian yang semakin membimbangkan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berharap melalui kursus itu, ibu bapa lebih memahami peranan sebenar mereka dalam mendidik anak-anak dan tidak hanya melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain seperti guru atau pembantu rumah.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, rancangan menggabungkan kedua-dua kursus itu dibuat selepas kursus keibubapaan yang dilaksanakan pada masa kini kurang menarik minat orang ramai.

Katanya, kursus itu bertujuan mengingatkan ibu bapa dan bakal ibu bapa pentingnya ilmu untuk membesarkan anak-anak selain mengelak ibu bapa daripada mengabaikan tanggungjawab mereka.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 10:33am
d