mutakhir

Disamun ketika lampu merah

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Perjalanan seorang peguam yang mahu ke Segamat, Johor tergendala apabila cermin kereta miliknya dipecahkan sebelum penjenayah meragut beg tangan isterinya dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Seremban-Tampin, di sini, kelmarin.

Sumber berkata, dalam kejadian 1.45 tengah hari, mangsa berusia 53 tahun mempunyai urusan kerja di Segamat dan memandu kereta Mercedes Benz dari Nilai, dekat sini.

Katanya, lelaki itu ditemani isteri berusia 50-an dan mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat merah.

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan mangsa didekati sebuah motosikal berkuasa besar dinaiki dua lelaki.

“Seorang daripada penjenayah bertindak memecahkan cermin tingkap hadapan sebelah kiri lalu meragut beg tangan isteri mangsa yang diletakkan di pangkuannya,” katanya.

Kata sumber itu lagi, isteri mangsa dikatakan terlelap seketika dalam kenderaan sebelum dikejutkan dengan kejadian terbabit.

“Sebaik meraih hasil rompakan, suspek yang bertopi keledar penuh dan memakai jaket hitam melarikan diri. Mangsa gagal mengejar kerana banyak kenderaan di hadapan kenderaannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang kehilangan beg tangan, telefon bimbit jenis Iphone-6, wang tunai RM100 dan pelbagai jenis dokumen membuat laporan di Balai Polis Rahang, di sini, pada jam 2.15 petang.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 10:36am
d