mutakhir

Kes ragut dan samun meningkat

Oleh Syazwan Msar

INDEKS jenayah ragut dan samun 2017 di Kuala Lumpur meningkat kepada 1,010 kes berbanding 640 kes untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, peningkatan jenayah ragut dan samun itu disebabkan sikap orang ramai yang kurang peka terhadap barangan berharga masing-masing sekali gus memberi peluang kepada penjenayah untuk bertindak demikian.

Beliau berkata, walaupun ragut dan samun ada peningkatan namun secara keseluruhan indeks jenayah di bandar raya ini menurun kepada 11,815 berbanding 15,785 pada 2016.

"Kebanyakan kes samun dan ragut dilakukan oleh individu tertentu yang sentiasa mengintai peluang melakukan jenayah berkenaan apabila mempunyai ruang berbuat demikian.

"Oleh itu, kita mewujudkan pasukan khas bagi menangani jenayah terbabit dengan mensasarkan kawasan tumpuan pelancong sekali gus dapat menahan penjenayah yang melakukan samun dan ragut," katanya dalam sidang media pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPKK) Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, antara kawasan 'panas' samun dan ragut yang menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit adalah di kawasan Bukit Bintang, Jalan Tunku Abdul Rahman dan berhampiran pusat beli-belah yang menjadi tumpuan pelancong luar negara.

Selain itu, beliau berkata, indeks jenayah harta benda menunjukkan penurunan apabila merekodkan 12,287 tahun lalu namun pada 2017 turun kepada 8,373.

"Pada masa sama, kita juga berusaha menangani judi dalam talian yang kini menjadi alternatif kepada sindiket perjudian untuk menarik orang ramai terjebak dalam aktiviti tidak sihat itu.

"Modus operandi sindiket terbabit adalah sentiasa berubah lokasi bagi mengelak ditahan oleh pihak berkuasa malah sanggup memberikan telefon bimbit mereka kepada tahi judi bagi memastikan aktiviti berkenaan dapat berjalan seperti biasa," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 12:25pm
d