mutakhir

Sultan Kedah terima darjah kebesaran Perak

Oleh Aizat Sharif

SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini berkenan menerima Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati Perak (DK Perak).

Penganugerahan terbabit dikurniakan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Penganugerahan dimulakan pada 12 tengah hari dengan Raja Muda Perak mempersembahkan darjah kebesaran berkenaan kepada Sultan Kedah bersempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-61, bulan lalu.

Majlis yang berlangsung selama 10 minit itu kemudian diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang.

Berangkat sama dalam majlis berkenaan adalah Raja Muda Kedah,Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani.

Selain itu tetamu kenamaan lain yang turut hadir adalah Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda (Perak), Datuk Seri Ir Mohamad Othman Zainal Azim; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sebaik selesai majlis penganugerahan, baginda dan Raja Muda Perak serta Kerabat Diraja kedua-dua negeri berangkat ke Anjung Istana untuk sesi bergambar sebelum diikuti dengan majlis santapan tengah hari di Dewan Santapan Lama, istana itu.

Sultan Sallehuddin yang dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah Ke-29 pada 12 September lalu turut dianugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK1) oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 30 Oktober lalu.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 2:50pm
d