mutakhir

Habis pantang terus curi [METROTV]

Oleh Zulfa Mohamad

WANITA warga Indonesia baru habis pantang ditahan polis kerana mencuri barang berharga mangsa di Taman Bunga Raya, Butterworth, 1 Disember lalu.

Terdahulu, suspek berusia 43 tahun yang juga janda berpura-pura mencari rumah sewa sebelum melarikan barang berharga mangsa.

Suspek tinggal di Seberang Jaya dan aktif mencuri sejak Januari lalu mengakibatkan kerugian kira-kira RM30,000.

Dia yang bergerak sendirian dengan menunggang motosikal rakan mencari mangsa terutama suri rumah yang tinggal seorang diri di rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pada kejadian terbaru 1 Disember lalu, suspek berpura-pura mencari rumah sewa sebelum meminta segelas air daripada mangsa.

“Sebaik mangsa masuk ke rumah untuk mengambil air, suspek turut menyelinap masuk sebelum melarikan barang berharga.

“Bagaimanapun, suspek terserempak dengan suami mangsa lalu melarikan diri,” katanya pada sidang media, hari ini.

Noorzainy berkata, suspek melarikan apa saja barang dalam rumah manakala barangan kemas dijual di kedai pajak gadai untuk mendapatkan wang mudah.

“Siasatan mendapati, suspek terbabit dengan tiga kes curi di SPU dan satu di Seberang Jaya. Bagaimanapun, kami yakin dia turut terbabit dengan beberapa kes lain.

“Berdasarkan empat kes yang dilaporkan ini, suspek menggunakan kaedah sama iaitu berpura-pura mencari rumah sewa, menawarkan khidmat mengurut dan meminta segelas air.

“Suspek direman 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 3:27pm
d