mutakhir

Polis cari Jambu

Oleh Nor Raidah Awang

POLIS memburu lelaki dikenali sebagai Jambu berusia 25 tahun selepas dipercayai menikam lengan seorang pemandu lori menggunakan kerambit di Jalan Kota Raja Bersiong, Selama, semalam.

Dalam kejadian 2.15 petang itu, mangsa berusia 26 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Selama dan menerima 20 jahitan akibat tikaman itu.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memberhentikan lori dipandunya bersama seorang kelindan di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek.

Katanya, suspek kemudiannya mengugut untuk memecahkan muka mangsa sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

"Suspek kemudiannya mengeluarkan kerambit dan menikam lengan tangan kanan mangsa dan melarikan diri ke dalam hutan berdekatan.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Redang Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Selama," katanya dalam kenyataan di Selama, hari ini.

Lian Lay berkata, hasil siasatan mendapati suspek dikenali mangsa sejak kecil lagi dan ketika kejadian suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah.

"Hasil rakaman percakapan mangsa, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap dan dia tidak pasti punca ditikam oleh suspek kerana tidak pernah mempunyai masalah dengannya.

"Polis sudah ke rumah suspek namun suspek dipercayai tidak pulang ke rumah dan usaha mengesannya sedang dijalankan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 3:30pm
d