mutakhir

Koleksi bawa padah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TINDAKAN seorang remaja lelaki menyimpan sebutir peluru yang ditemui sebagai kenangan membawa

padah apabila ditahan polis di Balai Berlepas Lapangan Terbang Sibu, Sabtu lalu.

Remaja berusia 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.20 petang oleh polis bantuan lapangan terbang selepas mengesan objek mencurigakan dalam kotak kasut dalam beg dibawanya ketika imbasan X-ray dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Martin Khoo berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui sebutir peluru 5.5 milimiter.

Menurutnya, satu laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Sibu Jaya sebelum suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan lanjut, suspek mendakwa menemui peluru berkenaan di Jalan Lanang, kira-kira jam 4 petang, namun tidak mengingati tarikh sebenar ia ditemui.

“Suspek juga tidak menyerahkan peluru ditemui kepada polis kerana beranggapan ia tidak menjadi kesalahan dan berhasrat menyimpanya sebagai koleksi peribadi,” katanya, semalam.

Katanya, hasil semakan juga mendapati suspek mahu berlepas ke Kota Kinabalu, kira-kira jam 5.45 petang pada hari dia ditahan.

Beliau berkata, peluru dirampas itu diserahkan kepada Unit Persenjataan (AMRA) Polis Diraja Malaysia untuk ujian balastik manakala suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a), Akta Senjata Api 1960.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 3:56pm
d