mutakhir

Suami isteri 'Geng Sarvin' dicekup

Oleh Nursyahirah Marzuki

TIGA suspek termasuk pasangan suami isteri diberkas polis selepas terbabit dalam aktiviti pecah pejabat di lapan daerah sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 21 hingga 31 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Segamat, Johor; Sri Petaling, Kuala Lumpur dan Kajang Perdana, Selangor pada 25 dan 26 November lalu.

Beliau berkata, suspek yang juga anggota Geng Sarvin itu ditahan susulan pendedahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kecurian membabitkan 17 unit pemprosesan komputer (CPU) di Makmal Komputer Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) di Kajang, Selangor pada 1 November lalu.

"Hasil siasatan melalui CCTV berjaya mengesan dua lelaki yang membawa keluar empat beg sebelum dilarikan dengan sebuah kenderaan.

"Melalui tangkapan itu, kami berjaya menyelesaikan kira-kira 20 kes pecah pejabat dan makmal dengan nilai anggaran sekitar RM100,000," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, suspek pertama ditahan di Segamat, Johor pada 25 November selain polis merampas beberapa barangan kes termasuk sebuah kenderaan klon jenis Toyota Wish yang digunakan suspek dan peralatan pecah seperti 'master key'.

Abdul Aziz berkata, suspek berusia 21 tahun itu mempunyai 28 rekod jenayah lampau dengan kesalahan sama iaitu pecah pejabat.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di Seri Petaling, Selangor pada hari sama manakala pada esoknya, seorang wanita berusia 31 tahun yang juga isteri kepada suspek pertama diberkas di Kajang.

"Kegiatan pecah pejabat ini dikesan aktif sejak enam bulan lalu di lapan lokasi iaitu di Sepang, Kajang, Putrajaya, Wangsa Maju, Cheras, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Selain itu, mereka turut menjual barangan curi berkenaan di sebuah kedai komputer di Plaza Low Yatt, Kuala Lumpur. Kami juga menahan dua lelaki Pakistan berumur 21 dan 41 tahun bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, suspek wanita sudah dibebaskan oleh mahkamah manakala empat lagi suspek masih ditahan untuk siasatan lanjut.

"Bagaimanapun, pihak polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang juga dalang utama kegiatan berkenaan iaitu Ravi Suppiah, 40, yang beralamat terakhir di C-2-20 Blok C Jalan Kajang Perdana 2, Kajang Selangor.

"Oleh itu, kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 4:33pm
d