mutakhir

PATI buat senapang angin

Oleh Rosliza Mohamed

POLIS merampas dua senapang angin di sebuah rumah kongsi pendatang asing tanpa izin (PATI) di ladang kelapa sawit Kemahang 2, Tanah Merah, malam semalam.

Serbuan 10.30 malam itu dijalankan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan yang terdahulu menyerbu kawasan itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebaik mendapat maklumat, pihaknya terus menyerbu kongsi terbabit.

"Pemeriksaan lanjut menemui selaras senapang angin, satu lagi masih dalam proses pembuatan dan satu balang bola besi yang dipercayai dihasilkan sendiri PATI yang tinggal di kongsi itu.

"Kita turut menemui peralatan yang disyaki digunakan untuk membuat senjata termasuk mesin canai, ketam kayu dan pemotong besi.

"Difahamkan senjata itu digunakan untuk memburu haiwan di kawasan ladang itu. Bagaimanapun ia tetap merbahaya kepada manusia." katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti pemilik senjata terbabit.

"Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat Seksyen 8 Akta Senjata Api 1980," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 6:44pm
d