mutakhir

Pesawah rugi RM50,000

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

SERAMAI 26 petani di Kampung Tasek, Setiu, hanya mampu mengeluh selepas mengalami kerugian lebih RM50,000 akibat tanaman padi mereka rosak selepas ditenggelami banjir.

Ketua Unit Peladang dan Kelompok Padi Kampung Buluh Hilir dan Kampung Buruk, Che Aziz Che Hamid, 54, berkata, kerugian membabitkan kawasan seluas 32.4 hektar daripada jumlah keseluruhan 121.4 hektar tanaman padi yang diusahakan lebih 100 petani.

"Kerja menuai hasil yang mula dijalankan pertengahan November lalu sepatutnya berakhir pertengahan bulan ini.

"Kami langsung tidak menjangka musim banjir tahun ini lebih awal, tidak seperti sebelum ini sekitar hujung Disember," katanya yang ditemui semalam.

Che Aziz berkata, sepatutnya pada pertengahan bulan ini kerja membajak tanah untuk musim pertama tahun hadapan sudah mula dilaksanakan.

"Namun kebanyakan petani sudah tidak mempunyai modal untuk memulakan musim baru selepas menanggung kerugian besar.

"Bagi setiap ekar (0.4 hektar) pada musim ini boleh menghasilkan satu tan padi dengan hasil sekitar RM1,000.

"Kebanyakan padi rosak tenggelam air lebih tiga hari menyebabkan tumbuh benih baru. Bila hantar kilang akan potong 65 peratus daripada berat asal," katanya.

Katanya, walaupun dibebani kerugian padi rosak petani terpaksa juga membayar upah jentera menuai dan van untuk mengangkut hasil padi ke kilang.

"Bayaran upah jentera sekitar RM110 dan bayaran van RM40 untuk satu tan bagi mengangkut hasil padi ke kilang.

"Petani juga terpaksa membayar sewa tanah antara RM100 hingga RM300 bagi seekar tanah," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 7:06pm
d