mutakhir

PBB iktiraf USM

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Teluk Bahang: Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menjadi wakil negara serta tuan rumah kepada Seminar Antarabangsa Menangani Masalah Obor-Obor Membahaya.

Bengkel bermula hari ini hingga Jumaat itu dihadiri 60 peserta dari 10 negara dan ia bagi membincang serta mencari pendekatan terbaru menangani masalah ancaman obor-obor yang menjadi tumpuan dunia ketika ini.

Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai berkata, masalah ancaman obor-obor sebenarnya bukan baru, tetapi telah wujud sejak sekian lama.

Beliau berkata, hasil penyelidikan USM, banyak pihak bimbang akan kewujudan obor-obor berbahaya sehingga boleh mengancam nyawa manusia.

Katanya, menjadi tanggungjawab USM untuk menjelaskan kepada orang ramai langkah keselamatan dan memberi kesedaran kepada orang ramai bagi mengatasi masalah ini.

“Langkah pencegahan amat penting membabitkan pelbagai pihak bukan saja pada orang ramai, malah sektor pelancongan termasuk hotel dan penganjur aktiviti sukan laut.

“Kita tidak bermaksud untuk menakutkan orang ramai tetapi sebagai langkah pencegahan ia amat penting untuk semua pihak memahami dan mengetahui tindakan sebenar yang perlu diambil apabila disengat obor-obor terutama jenis Chironex,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri seminar Langkah-Langkah Keselamatan Akibat Serangan Obor-Obor di CEMACS di Taman Negara, Teluk Bahang, di sini, semalam.

Turut hadir, wakil Persatuan Pengusaha Hotel Pulau Pinang, Persatuan Toksinologi Malaysia dan St. John Ambulans Malaysia Negeri Pulau Pinang.

Aileen berkata, pihak USM sedang mencari langkah proaktif mengatasi masalah ancaman obor-obor termasuk melaksanakan kajian termasuk pengkongsian maklumat daripada nelayan dan orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menerapkan pengkongsian idea dari wakil 10 negara yang hadir agar isu ini dapat ditangani secara lebih cekap.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 7:58am
d